Tuesday, October 21, 2008

Warkah Melankolik dari Melbourne

Cerpen: Warkah Melankolik dari MelbourneOleh Zulfazlan Jumrah


“BUAT tatapan ayahanda dan bonda di Sandakan, Sabah. Semoga ayahanda dan bonda berada dalam keadaan yang sihat walafiat hendaknya di samping Kak Long dan Dik Halim yang tercinta. Anakanda juga berharap semoga ayahanda dan bonda sentiasa berada di dalam limpahan rahmat-Nya selalu. Tentang anakanda di sini, usahlah ayahanda dan bonda risaukan. Meski jiwa ini kian terdera dan anakanda terpaksa tabah menanti satu penantian yang tidak pasti, anakanda sedar bahawa semua ini perlu anakanda hadapi dengan segala kekuatan diri dan moga-moga iman yang tinggal di dada anakanda ini mampu menemani segala keresahan hati.
Ayahanda dan bonda,
Ketibaan Syawal pada kali ini ternyata paling pilu dan perit dalam kamus hidup anakanda. Anakanda bukan sahaja terpaksa menjalani ibadat Ramadan dan Tarawih berdindingkan selapis tirai besi, malah kemenangan Syawal pada kali ini juga tidak ada apa yang menggembirakan selain terpaksa menjalani ujian air kencing buat kali ketiga dan pada sambutan Syawal kedua nanti, anakanda akan menjalani satu ujian ortopedik di Hospital Winfrey Health di tenggara kota metropolis Melbourne ini. Usai itu, anakanda terpaksa pula menjalani satu sesi kerja amal yang menjadi rutin para banduan di sini untuk berbakti kepada masyarakat yang selalunya diadakan di Ghoddison’s Theme Park atau di mana-mana sahaja siar kaki berhampiran Moluska Thetre Centre atau barangkali juga di Poetry Council yang selalunya meriah dengan pelbagai upacara kebudayaan.
Memang begitu dan sememangnya kota Melbourne tidak pernah sunyi daripada rutin ini. Apabila berada dalam situasi begini, terasa kesal pula dengan nasib yang menimpa diri. Anakanda tahu, segalanya sudah terlewat, namun anakanda tetap kesal kerana pernah bertemu dan mengenali seorang lelaki Afrika bernama Jason.
Jason merupakan rakan sekuliah anakanda di universiti. Perkenalan kami pada mulanya tidak lebih hanya sebagai rakan sekumpulan untuk kami melakukan satu kajian lapangan sosiolinguistik di Perkampungan Portugis di Melaka. Ternyata, keakraban kami terjelma setelah kami bekerjasama untuk menyiapkan kerja lapangan ini dan pada Aidilfitri yang lalu, kami semakin rapat apabila anakanda membawa Jason merasai sambutan Hari Raya Aidilfitri di rumah seorang rakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang setelah anakanda pulang menyambut perayaan bersama-sama di Sandakan dahulu. Akan tetapi, anakanda tidak menyangka bahawa itulah kali terakhir kita menyambut kedatangan Syawal bersama-sama. Anakanda berasa pilu dan sebak apabila mengenangkan segala kenangan indah pada pagi Aidilfitri. Sudah pasti anakanda merindui rendang daging bonda dan semestinya keenakan ketupat daun palas abah yang dipelajari daripada Mak Simah di Kelantan mengundang rasa rindu yang mendalam.
Ayahanda dan bonda, Anakanda sebenarnya sudah membuat perancangan untuk bertekad pulang ke Sandakan sebaik sahaja pulang dari Melbourne kerana mahu merayakan sambutan Aidilfitri kita pada tahun ini semeriah seperti tahun-tahun yang sudah dan kerana itulah, anakanda tidak sabar-sabar untuk terus pulang ke Sandakan sebaik sahaja selesai menyampaikan sebuah beg yang didakwa oleh Jason mengandungi pakaian yang dibelinya di Kuala Lumpur sebagai sagu hati keluarga angkatnya di Melbourne. Sebaik sahaja Jason meminta anakanda untuk ‘berjumpa’ dengan wakil keluarga angkatnya di Melbourne, anakanda tidak menolak kerana anakanda hanya diberikan amanat untuk menyampaikan sebuah beg sederhana besar tanpa anakanda menyedari bahawa ia hanyalah satu perangkap sindiket dadah antarabangsa yang hanya mahu memerangkap diri anakanda sendiri.
Ayahanda dan bonda,
Demi Allah, sekiranya anakanda tahu isi kandungan beg seberat tiga kilogram itu adalah sejenis dadah yang bernama syabu, anakanda bersumpah yang anakanda tidak akan menerima ‘tawaran’ perkhidmatan ini. Andai kata anakanda tahu isi kandungan beg itu adalah sejenis najis yang boleh merosakkan masa depan, keselamatan dan turut mengancam nyawa anakanda, anakanda bersumpah dengan nama Allah Yang Maha Mengetahui, bahawa anakanda tidak akan menurut permintaan Jason itu. Namun, apabila anakanda sudah tiba di daftar masuk lapangan terbang Melbourne, anakanda tahu bahawa semua ini adalah satu helah dan tipu daya semata-mata. Semua ini adalah satu propaganda yang diciptakan semata-mata untuk memerangkap anakanda.
Sememangnya anakanda terpinga-pinga apabila secara tiba-tiba anakanda ditahan oleh pegawai di lapangan terbang itu, namun anakanda nekad untuk tidak cuba melawan kerana pada anakanda selagi anakanda berada pada pihak yang benar, segalanya akan selamat dan anakanda begitu yakin yang anakanda tidak bersalah. Namun, kita tidak dapat menolak ketentuan takdir. Tiada siapa yang dapat membayangkan perasaan anakanda sebaik sahaja melihat tiga kilogram dadah jenis syabu dikeluarkan daripada kantung beg anakanda sendiri. Lalu, tiada apa yang dapat anakanda lakukan selain hanya berserah kepada Allah Yang Maha Pelindung. Ayahanda dan bonda,
Mengenali lelaki bernama Jason merupakan satu kekesalan yang bukan kepalang bagi diri anakanda. Manakan tidak, lelaki inilah yang telah merubah hidup anakanda secara keseluruhannya. Jasonlah yang telah menjerumuskan diri anakanda ke kancah pengedaran dadah ini dengan cara yang paling hina dan akhirnya, anakanda tertangkap di sini tanpa anakanda sedari kesilapan anakanda sendiri yang telah dijadikan alat oleh lelaki durjana itu. Saat ini, fikiran anakanda terhantar jauh ke masa silam iaitu ketika anakanda mula mengenali lelaki berkulit hitam ini. Kesungguhannya yang ingin menjadikan anakanda sebagai sahabat ternyata mencairkan hati anakanda. Lebih menyebabkan anakanda tidak ragu-ragu tentang keikhlasannya ialah apabila dia secara terangan mengakui bahawa dia sudah mula tertarik dengan Islam dan sepanjang perkenalan itu juga pada hemat anakanda, dia tidak pernah mengambil kesempatan terhadap seorang gadis Melayu-Islam seperti anakanda. Selama tempoh perkenalan ini juga anakanda dapat mengenali serba sedikit tentang latar belakang Jason. Menurutnya, dia anak sulung daripada tiga adik-beradik dan kini dia menjadi sandaran keluarga untuk mengubah taraf hidup mereka yang miskin.
Anakanda memang silap kerana mempercayai bulat-bulat bahawa dia memiliki sebuah keluarga yang hidup serba daif di Afrika Selatan. Dia juga sungguh-sungguh menanamkan rasa percaya ke dalam diri anakanda bahawa dia memiliki sebuah keluarga angkat di Melbourne, Australia dan kerana itulah apabila dia meminta anakanda pergi ke Melbourne untuk menghantar sebungkus pakaian yang dibeli di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, anakanda tidak menolak kerana pada anakanda ini adalah satu bentuk pertolongan seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain. Ketahuilah bahawa niat anakanda sangat tulus.
Ayahanda dan bonda,
Menjalani hari-hari yang memeritkan di sebalik tirai besi ternyata sangatlah menyeksakan, apatah lagi anakanda sudah diklasifikasikan sebagai banduan akhir yang hanya menanti hukuman gantung dijatuhkan ke atas anakanda. Pilihan dan keputusan sudah diputuskan. Harapan anakanda kini hanyalah pada belas ihsan lembaga pengadilan Higher Lawyer Council (HLC) untuk mempertimbangkan rayuan terakhir anakanda terhadap hukuman yang hakikatnya tidak adil ini. Anakanda sudah bermati-matian mempertahankan diri dengan hujah-hujah anakanda, tetapi barangkali hujah anakanda tidak cukup untuk menutupi bukti penemuan bungkusan dadah seberat 3 kilogram itu.
Ayahanda dan bonda,
Pada kesempatan ini, anakanda ingin memohon ampun dan maaf abadi buat selama-lamanya kepada ayahanda dan bonda. Maaf, kerana tidak dapat menjadi anak yang terbaik seperti mana yang selalu anakanda janjikan setiap kali sebelum pulang ke asrama ketika menuntut di MRSM dahulu. Maaf, di atas segala kesilapan yang telah anakanda lakukan yang telah menghiris sekeping hati ayah dan bonda yang pernah menggantungkan harapan yang menggunung untuk melihat anakandamu ini berjaya dalam hidup. Kini, tanpa ayahanda, bonda, Kak Long dan Dik Halim di sisi, dingin malam anakanda diselimuti oleh zikir kudus dan pelukan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Kalaulah ditakdirkan ajal anakanda di tali gantung, anakanda reda dan kerana itu anakanda bertaubat setiap hari memohon keampunan-Nya terhadap sejasad jiwa yang terdera oleh kepalsuan dunia.
Ayahanda dan bonda,
Andai kata di tali gantung jasad anakanda dipisahkan daripada roh, pohon restu ayahanda dan bonda menghalalkan segala-galanya dan mengertilah bahawa selayang warkah ini adalah tumpahan rasa hati, perasaan yang ikhlas, jujur dan pilu. Ketahuilah bahawa warkah ini mengirimkan selaut rindu dan kasih sayang anakanda yang tidak berkesudahan buat semua keluarga di sana. Doakan kesejahteraan anakanda di sana dan ketahuilah bahawa anakanda terlalu menyayangi ayahanda dan bonda. Salam kepiluan daripada anakmu.
Siti Zuraini Ismail,Melbourne, Australia20 Ramadan 1429 Hijrah.

Biodata:
ZULFAZLAN Jumrah yang dilahirkan pada 4 Ogos 1986 adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif negara ini. Karya peserta Minggu Penulis Remaja 2006 (MPR 2006), anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini pernah mendapat tempat dalam akhbar dan majalah arus perdana. Ahli Persatuan Penulis-Penulis Johor (PPJ) ini kini mengikuti Bacelor Pendidikan Bahasa
Malaysia Sebagai Bahasa Pertama PBMP) di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

No comments: