Tuesday, October 21, 2008

Alkisah Kucing iDul Fitri

Alkisah Kucing Idul FitriOleh ZAINAL RASHID AHMAD
KAMPUNG nan kecil ini, terperuk nun jauh di tengah lembah – kira-kira sepelaung dari simpang lebuh besar; dan jalan masuknya pula hanya separuh bertar. Sejak kecil, kami sudah terbiasa dengan pemandangan rumpunan buluh yang tumbuh tinggi melayup di kiri-kanan jalan yang separuhnya lagi, tanah merah. Katam-katam buluh yang panjang sedepa, serta warna kuning airnya yang berselang-seli dengan daun-daun hijau yang tirus dan panjang itu, menjadikan rumpunan yang tumbuh berjarak ini, seakan-akan bentiang; bak tembok yang memisahkan kedua-dua bahu jalan dari jerumunan belukar dan semak-samun di sepanjang lereng di kaki bukit.
Kalau berdiri di kepala simpang; jalan masuk yang cukup-cukup muat untuk kereta berselisih ini terlihat suram; seakan-akan laluannya melurus terus ke kaki bukit. Apa lagi dek bayang-bayang pucuk buluh yang sedang bercumbu julaiannya itu, menjadikan jalan ini laksana sebuah gua batu kapur; atau disihir tangan alam lalu bertukar menjadi terowong gelap yang tidak berpenghujung.
Kecuali kami yang menetap sejak turun-temurun di sini, kampung yang ditandai pintu masuknya oleh pohon ketapang yang berusia bangka tetapi masih tegak agam itu, hampir tidak pernah dikunjungi orang luar. Kami pula tak pernah memikirkan sebabnya – kecuali sekali dua dulu kebetulan ketika keluar merayap di bandar, terdengarlah cakap-cakap orang, bahawa kampung kami ini umpama sarang hidup yang penuh dengan misteri yang membingungkan.
“Kampung tu berhantu!” Kata si empunya warung kopi.
“Apa tak berhantunya,” sambut si polan yang sedang minum.
“Dulu masa zaman komunis, askar British pernah meninjau ke situ. Masa masuk, bila dikira yang ada hanya tujuh buah rumah. Tapi bila nak keluar, askar British terkejut kerana rumah sudah bercambah-cambah." Si empunya warung cepat-cepat menyambung cerita:
"Askar British bertekak sesama sendiri; ada yang kata seratus buah, ada yang kata empat puluh saja."
Meski pun jumlah rumah di kampung kami tidak menentu; terkadang tujuh dan terkadang empat puluh. Malah pada malam-malam tertentu kalau bulan tiba-tiba saja ditelan awan tebal dan seluruh kampung dibungkus gelap, maka di sana-sini segera dinyalakan pelita lalu digantung pada palang-palang pintu. Di kaki-kaki bukit, tempat diamnya jiran-jiran kami yang halimunan itu, deretan api jamung yang berselerak di sepanjang kaki bukit hampir-hampir menerangi seluruh hutan. Waktu itu, barulah kami perasan akan banyaknya rumah di kampung ini. Cuma kalau ditinjau kala siang hari, yang ada hanyalah jerumunan belukar dan hutan tebal.
“Kampung tu berhantu… kita tak tau mana satu manusia, mana satu pula jin!" Si empunya warung menutup cerita.

2
Kampung kami wujud di tengah-tengah kepungan lembah yang menjajar; mendatar panjang di atas tanah yang disepit bukit-bukau tiga penjuru. Kehidupan di sini juga seperti biasa - digerakkan pusaran waktu; hari yang bersilih-ganti akan merangkak ke minggu, sebelum minggu yang berkembar-kembar itu, menanjak jadi bulan. Seterusnya bulan demi bulan pula, dipilin-pilin lalu tersusunlah kitaran tahun demi tahun.
Meski pun banyak keanehan yang pernah atau sedang berpusar di sekitar pelusuk kampung ini sudah dapat kami telan sebagai siri-siri kejadian yang sangat biasa saja – malah sudah pun terhadam dalam fikiran, laksana nasi yang jatuh ke perut.
Kecuali satu saja – kisah bayi si kucing Idul Fitri. Itulah satu-satunya misteri yang mengharukan, dan sudah tentu tidak sesekali kami perlekehkan.
Sejak tujuh tahun lalu, tiap kali akhir Ramadan menanjak ke Syawal – di mana-mana saja, dari kerusi panjang bawah pokok ketapang tempat orang-orang tua berkerumun sambil berbual di kala petang, atau di bawah pokok nangka jantan yang memisahkan sempadan tanah manusia dan jin – asal saja duduk berkumpul, maka alkisah si kucing inilah yang sering dibualkan.

3
Tujuh tahun lalu, pada satu hari nan sunyi, muncullah kelibat seorang gadis memakai kerudung hitam; berjalan masuk menyusur bayang-bayang rumpunan buluh dan saat itu susuk tubuhnya itu terlihat bak segumpal kapas yang sedang diterbangkan angin. Dia masih muda. Kata orang, asalnya dagang dari Seberang. Orangnya kecil molek, dan kulit putih bersih seperti warna cengkerang siput yang gebu melepak setelah bertahun-tahun dihakis ombak dan asin garam.
“Gadis itu bergelandang... menggalas karung batik,” kata orang yang pernah melihatnya kala dia tiba. Malah diceritakan juga, kononnya gadis itu sudah separuh pengsan kala tiba di depan kampung; berwajah linglung dan kolam matanya meredup lesu.
“Kakinya yang putih itu, bersalut debu jelaga... bibirnya kering, pecah merekah.”
Gadis itu berkelana mencari suaminya – yang kononnya pernah merantau ke negeri ini bersama dua teman sekampung untuk mencari kerja. Alkisahnya, setelah gagal mendapatkan pekerjaan dan terkantung-kantung sendirian setelah dua temannya tertangkap lalu dipenjarakan kerana melangkaui sempadan dengan cara yang salah – suaminya itu, yang kononnya sempat meloloskan diri, dek rasa takut dan gugup, akhirnya menyusup belukar. Menurut cerita, setelah berhari-hari merempuh hutan, dia pun tiba ke kampung kami.
“Waktu itu,” kata orang yang bercerita, “keadaan dalam kampung sedang berserabut... ada perselisihan sesama penduduk.” Kononnya, ada bertelagah besar menyangkut soal sempadan tanah antara penduduk keturunan manusia dengan penduduk kabilah jin.
“Jadi... lelaki seberang itulah yang akhirnya meleraikan perselisihan itu.” Malah kata yang bercerita, “lelaki itulah yang mengusulkan ditanam anak pokok nangka jantan – yang sampai ke hari ini diiktiraf sebagai tanda sempadan tanah.”

4
Tujuh bulan dia berdiam di kampung kami. Orangnya sangat dihormati kerana dialah juga yang sangat berjasa mendirikan surau; satu-satunya tempat yang disepakati sebagai milik bersama semua manusia dan segala jenis jin.
Cuma yang aneh, pada pagi Syawal tahun pertama dia bersama kami, si musafir itu tiba-tiba saja menghilang – pergi entah ke mana tanpa sebarang pesan.
“Jadi… bila isterinya tiba setahun kemudian, suaminya itu sudah pun bepergian,” kata orang yang bercerita. Namun dek rasa hormat yang masih tebal, digelumang pula segala macam ingatan terhadap jasa serta budi baik suaminya dulu, kehadiran gadis itu sangat diterima. Malah cepat-cepat dibawa ke rumah peninggalan suaminya, dan dibenarkan diam di situ.
Cuma barangkali kerana dia gadis separuh belasan, serta sangat pendiam pula – perasaan kagum orang kampung terhadap suaminya yang sudah lenyap entah ke mana itu, perlahan-lahan mulai mengabur. Apa pun kata orang lagi, geruh pekerti suaminya tetap hidup di kampung kami. Jadi, isterinya yang cantik lagi tinggal sendirian itu, tak berani diusik orang.


5
Gadis yang tertinggal suami itu, selama diam di kampung, sangat jarang dilihat orang sekali pun di luar rumahnya sendiri. Cuma sesekali, ada seorang dua yang kebetulan melintas di depan rumahnya terutama pada awal pagi, pernah terlihat kelibatnya. Ada kalanya, dia dilihat sedang mengampai jemuran; atau sedang tekun bekerja menarah cangkul di kebun sayur yang tumbuh subur di belakang rumahnya. Ada juga orang bercerita, pernah mendengar suara gadis itu membaca Quran pada malam hari.
“Suaranya lunak sekali... cuma sedikit hiba kerana bertunda-tunda dengan isak dan sebak.”
Akhirnya, tatkala kehadirannya sudah sebati dengan kampung kami; terjadilah peristiwa aneh yang mengaibkan ini. Pada pagi Syawal tahun kedua dia diam di sini, berlakulah kegemparan.

6
“Setahu saya, tiga bulan lepas kahwin... suaminya merantau ke sini. Dah dua tahun tak ketemu... takkanlah sekarang baru nak beranak!”
Solat hari raya tahun itu disegerakan. Malah khutbah pun dipendekkan. Surau kampung selepas doa hari raya, lenggang sepantas kilat; kami semua berkerumun di depan rumah gadis itu. Syawal kali ini lebih menggemparkan – isteri yang sudah lebih dua tahun kehilangan suami tiba-tiba sarat mengandung. Malah kata bidan, orang baru itu akan menyusul dunia hari ini juga.
Waktu kami tiba, untuk pertama kali selepas kami hampir melupakan sejarah kewujudan rumah ini, barulah kami sedar – rumah ini sudah terlalu uzur. inilah satu-satunya rumah di kampung kami yang dibina tanpa bilik. Hanya sepetak ruang tamu yang luasnya sekadar cukup untuk tidur melunjur, serta pelenggar dapur yang memuatkan dapur kayu.
Atap rumbianya sudah kering dan mereput; begitu juga dinding yang dibuat dari anyaman kulit buluh. Lantainya batang-batang bakau yang disusun atas empat galang geta berampukan enam batang tiang. Rumah ini berwajah lara, malah lebih papa daripada dangau togel yang dibina tengah dusun kala musim buah-buahan.
Kami sedang berdiri mencacang di laman rumah; pintu belahan buluh masih rapat terkatup. Matahari sudah sedikit menyala, tapi bagi kami Syawal hari itu tiba-tiba terasa meredup. Hati terasa sebak, kala cakap-cakap yang kasar dan penuh nista mulai kedengaran di laman rumah itu.
“Isteri yang curang... dua tahun ditinggal suami dan berzina sampai mengandung anak luar nikah... satu kejadian yang dahsyat - dosa yang dahsyat.”


7
Bayi pun lahir, kala rembang hampir disimpuh zuhur. Kata orang, kerana waktu itu hanya si bidan tua dan dua perempuan sahabat karibnya dibenarkan berada dalam rumah, maka merekalah saksi akan peristiwa yang menggugupkan seluruh keindahan Syawal. Si bidan tua dan dua sahabatnya itu – yang saling membantu menyambut bayi, kemudian memotong tali pusatnya serta mengeluarkan uri lalu dibasuh dan dibalut rapi, malah penuh takzim memandikan si bayi.
Kami takkan lupa Syawal tahun itu. Tidak cukup dek kegemparan walhal dirinya itu mengandung tanpa suami, kini bayi yang dilahirkan pula memeranjat semua orang. Sebaik saja mendengar cerita akan keanehan bayinya itu, kami pun yakin - tiang Syawal tahun itu sudah runtuh menyembah tanah. Gadis separuh belasan, yang dua tahun dulu berdiri di pintu kampung dengan kakinya berjelaga debu - hari ini melahirkan bayi seekor kucing.


8
Meski pun suasana laman rumah yang dibina suaminya dulu, kini dibingarkan segala macam suara yang mencarutkan maki-hamun bercampur kata nista, si gadis hanya terdaya mendengarkannya saja. Cuma, dia terasa lega kerana si bidan masih di sisinya walaupun dua sahabat karibnya bingkas keluar sambil meludah di tangga. Si bidan tetap tekun memandikan bayi, mengelapnya lalu dibalut dengan sehelai batik.
Melihatkan saja mata gadis itu sudah merah basah digenangi air mata serta kedua-dua bibirnya kini menggeletar, si bidan cepat-cepat merapatkan telinganya ke mulut gadis itu. Didengar suara hiba dan penuh remuk-redam, kala gadis itu melafazkan sumpah; dirinya tidak pernah berzina, kecuali digauli suaminya sendiri selama tiga bulan sebelum lelaki itu keluar merantau. Akhirnya, ketika tangisannya mulai merengsa, si bidan mendengar pesan akhir gadis itu:
“Namakan bayiku Idul Fitri.”


9
Ketika seisi kampung masih riuh-rendah di laman rumah dengan cakap-cakap yang berbaur kemarahan; kononnya bayi kucing itu lahir hasil perbuatan zina gadis itu dengan jin kafir, si ibu berhenti merintih. Di peluk bayinya itu kuat-kuat dan seusai syahadah, matanya pun perlahan-lahan terpejam.
Habis saja azan Zuhur satu Syawal yang bergema dari surau, si bidan pun membuka pintu sambil mengendong bayi yang sedang lena dalam balutan batik. Di luar, seisi kampung memandang padanya dengan wajah merah padam. Si bidan menundukkan mukanya ke tanah dan berkata perlahan seakan-akan hanya untuk didengarkan oleh kedua-dua telinganya yang renta saja.
“Ibunya meninggal... si yatim ini, biarlah aku pelihara.”


10
Kampung kami tetap seperti biasa, seperti dulu juga, kecuali perisa serta asam garam yang pahit untuk kehidupan tamu baru – si kucing aneh bernama Idul Fitri. Meski pun dirinya yang yatim itu disembunyikan jauh-jauh dari mata manusia, dan si bidan tua itu sendiri menjaganya tanpa pernah meruntun belas dan bantuan di kaki sesiapa pun, namun tiap kali orang menceritakan akan alkisahnya yang aneh itu, maka saratlah cakap-cakap berisi nista.
Pada kami, si bayi kucing itu (kata orang, kala dilahirkan dulu tubuh yang berkaki empat itu berselaput bulu berwarna kelabu dan bermata coklat bundar) adalah satu dongeng moden yang penuh air mata.
“Mana ada orang mengandung dua tahun,” kata si polan yang seorang.
“Kalau benih manusia, yang lahir tentulah manusia. Aku yakin, betina itu bersundal dengan jin kafir. Jadi yang lahir tentulah binatang!”
Cuma dek ketiadaan bukti, maka tuduhan si polan itu tidak pernah diadu atau dicemuhkan kepada penduduk jin. Walaupun tersebar cerita, kononnya penduduk jin sudah mendengar gosip jahat itu dan sangat tersinggung dengan tuduhan itu, namun walhal kemarahan mereka itu tidak pernah disuarakan secara terbuka. Malah, kami yang menghuni kawasan manusia pun, tidak pernah membawa tuduhan itu menjadi rasmi; kecuali sekadar pengulangan cakap-cakap yang berisi kemarahan.


11
Seperti arwah ibunya yang sentiasa menyisihkan diri ketika hayatnya di kampung kami, Idul Fitri sejak dibawa pulang si bidan dalam bungkusan batik itu, tidak pernah dilihat orang. Malah, sejak Idul Fitri ada – bidan yang lebih setengah abad menabur budi sebagai penyambut kelahiran, kini tidak lagi berkesanggupan untuk pekerjaan itu.
“Aku dah ada anak... jadi kena selalu di rumah.” Seisi kampung mendiamkan diri dan mendengar saja akan alasannya itu. Cuma pada kami, cakap-cakap nista yang dilemparkan kepada Idul Fitri adalah satu-satu sebab, si bidan memencilkan diri. Dia tidak sanggup mendengarnya.
Kami sedar, sejak Idul Fitri ada – rumah si bidan itu yang selama ini suram dan gelap, kini sangat bercahaya. Sesekali, kalau si bidan itu keluar ke kedai di kepala jalan – dan ketuaan yang tiba-tiba melanda dirinya menyebabkan tubuhnya kini mulai bongkok, namun pada sepasang mata rentanya itu jelas terpancar jalur cahaya.
“Nek... mana Idul Fitri?” Kami bertanya.
“Ada... sedang bermain di rumah.” Atau dijawabnya ringkas: “Idul Fitri sedang mengaji.”
Si bidan melangkah pergi dan kami hanya diam terbius. Sebenarnya, kami mahu bertanya: “Bolehkah kami melihat Idul Fitri?” Atau mengusulkan soalan yang lebih berani: “Macamana Idul Fitri mengaji... bolehkah dia bercakap?”


12
Selepas tujuh tahun peristiwa lahirnya bayi kucing di kampung kami – setelah berbulan-bulan lamanya orang tak lagi melihat si bidan tua menyusur jalan kampung ke kedai di kepala lebuh – pada pagi Syawal tujuh tahun lalu, ketika jemaah sedang solat Subuh, datanglah berita sedih yang dibawa dua perempuan tua sahabat karibnya itu.
“Si bidan kita sudah meninggal.”
Seisi kampung hanya terdiam; tetapi kami bermandi air mata dek rasa sedih kerana si bidan tua yang sangat berjasa itu, akhirnya pergi tanpa seorang pun di sisinya. Cuma tatkala teringat akan sepasang matanya yang bercahaya sejak membawa pulang si Idul Fitri, kami terasa lega. “Dia bahagia,” bisik hati kecil kami.
Di surau, jenazah si bidan disembahyangkan selepas khutbah raya. Waktu orang membuka penutup keranda untuk membolehkan dua sahabat karibnya menatap buat kali akhir, kami cepat-cepat menggelisat di celah-celah orang lalu berdiri dekat jenazah. Kami sempat melihat wajahnya; dan sampai saat ini, kami masih teringat akan jaluran cahaya jernih yang memancar-mancar menembusi kelopak matanya yang tertutup rapat. Cahaya yang menakjubkan – sama seperti ketika hayatnya dulu.


13
Tujuh tahun sudah berlalu, sejak si bidan tiada; orang sudah pun mulai melupakannya. Seingat kami, meski pun bidan itu pernah berjasa menyambut begitu banyak nyawa dan nama orang di kampung kami, namun hari ini, arwah si tua itu sudah dilupakan orang. Kuburnya masih tak bernisan, kecuali diteduhi pokok kemboja yang rendang. Kami tanam kala melawatnya pada hari keseratus dia pergi.
Cuma sekarang ini, ketika Syawal hampir menjelang – di bawah pokok ketapang tempat manusia berkumpul, malah sampai ke lereng bukit berdekatan sempadan tanah – segala cakap-cakap hanyalah berkisar akan kisah si bayi kucing Idul Fitri.
Di hati kami meresap perasaan yang aneh; begitu banyak rahsia berputar di sebalik kisah seorang gadis seberang melahirkan bayi kucing di kampung kami. Apa lagi mengingatkan gadis itu terbuang ke kampung kami ketika berkelana menjejak suaminya yang sudah dua tahun menghilang.
Ada kalanya, kalau terasa sangat rindu... kami akan pergi ke tapak rumah sepetak tempat bayi kucing itu lahir dan kemudian menyusul pula ke tapak rumah si bidan tempat Idul Fitri dibesarkan tanpa pernah dilihat sesiapa pun.
Tujuh tahun lalu, sebaik saja jenazahnya dikebumikan, kami bergegas ke rumah ini. Tiba-tiba saja kami teringat akan Idul Fitri; kasihan, kebetulan ibu kandung dan ibu angkatnya pergi pada satu Syawal.
Kala kami sampai pintu semua pintu dan tingkap tertutup rapat. Kami berjalan mengelilingi rumah; meninjau-ninjau sambil menelinga – mencari-cari akan kelibat atau desis suara Idul Fitri. Menjelang Maghrib ketika Syawal pertama mulai berakhir, kami menerima hakikat – rumah itu tidak berpenghuni.
Kami pun berundur – dan sedikit gugup setelah melangkahi parit kecil yang memisahkan laman rumah itu dengan jalan kampung. Angin tiba-tiba saja menyusur, dan terdengar suara orang sedang membaca Al Quran. Sangat lunak dan kami yakin itu suara seorang budak lelaki.
“Barangkali itulah Idul Fitri... sedang membaca Yassin untuk si bidan dan arwah ibunya.” Perlahan-lahan, remang senja mulai jatuh; cepat-cepat kami teringat – hari itu, hari pertama bulan Syawal.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1 comment:

MBAH JAYA WARSITO said...

KAMI SEKELUARGA TAK LUPA MENGUCAPKAN PUJI SYUKUR KEPADA ALLAH S,W,T
dan terima kasih banyak kepada AKI atas nomor yang AKI
beri 4 angka [2138] alhamdulillah ternyata itu benar2 tembus AKI.
dan alhamdulillah sekarang saya bisa melunasi semua utan2 saya yang
ada sama tetangga.dan juga BANK BRI dan bukan hanya itu AKI. insya
allah saya akan coba untuk membuka usaha sendiri demi mencukupi
kebutuhan keluarga saya sehari-hari itu semua berkat bantuan AKI..
sekali lagi makasih banyak ya AKI… bagi saudara yang suka PASANG NOMOR
yang ingin merubah nasib seperti saya silahkan hubungi KI DARSA,,di no (((085-321-606-847)))
insya allah anda bisa seperti saya…menang NOMOR 770 JUTA , wassalam.