Seekor anjing, perempuan tua dan sebuah rumah
DARAH pekat membasahi lantai rumah itu. Angel terkandas kaku ke dinding. Joshua, terketar-ketar dan mengerang di lantai. Perempuan tua itu kelihatan bersungguh-sungguh mengheret tubuh sakitnya mendekat Angel. Jingle memandang takjub. Ia baru tiba dari mengejar si lelaki durjana. "Angel! Bangun nak!" dengan payah, dia meraih tubuh anak kesayangan ke pangkuannya yang semakin lemah. Beberapa jiran lain yang mungkin terdengar kekecohan sebentar tadi, menjenguk. Sekejap sahaja rumah itu dipenuhi jiran terdekat. Kelam-kabut masing-masing mahu segera membantu. Setengah jam kemudian, polis pun tiba. Orang ramai diminta keluar bagi memudahkan polis berurusan dengan saksi terawal tiba di tempat kejadian. "Agaknya penyamun itu lari ikut pintu dapur!" seseorang meningkah dari kumpulan jiran di luar. Sangka mereka keluarga Joshua disamun. Ada pula jiran lain ternampak seorang lelaki muda berlari dari arah rumah ini. Mereka membuat spekulasi sendiri tentang peristiwa yang baru sahaja berlaku. Selama ini, walaupun tinggal sebelah-menyebelah, masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Jingle berkitaran mundar-mandir di ruang tamu. Joshua sudah tidak sedarkan diri. Jingle tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Ia memandang sahaja Joshua kesayangannya itu diangkat ke dalam ambulans. Angel juga dibawa ambulans. Jingle tidak mahu peduli pada Angel. Padanya, Angel manusia yang kejam. Ia benci pada Angel. Di halaman rumah itu, jiran-jiran masih tinggal bercerita dan membuat spekulasi. Jingle datang sendiri ke hospital itu. Sudah seminggu ia berulang untuk bertemu Joshua yang ditahan di wad. Kepala Joshua yang cedera ditukar pembalutnya setiap hari. Hari ini perempuan tua itu sudah boleh menggerakkan kerusi roda ke taman. Barulah Jingle dapat berjumpa Joshua hari ini. Jingle sayangkan Joshua. Joshua sahaja yang baik terhadapnya. Namun, Joshua juga sangat sayangkan anaknya Angel. Jingle sangat risau Joshua akan marah padanya. Nasib baiklah ketika Jingle mendekati Joshua yang sedang berehat, ia tidak dihalau sebagaimana orang lain menghalaunya. Walaupun Joshua sedih, Joshua masih sudi mengelus-ngelus kepalanya. Joshua ceritakan keadaan dirinya dan Angel. Joshua masih sudi berkongsi perasaan dengannya seperti sebelum ini. Jingle berharap Joshua pulih dan kembali ke rumah. Jingle tidak betah hidup bergelandangan lagi.Sebelumnya… Jingle meninjau-ninjau di muka pintu. Mengawasi kalau-kalau Angel yang tidak menentu anginnya itu muncul. Jika dilihat angin Angel baik, ia akan melekat terus di muka pintu. Jika Angel marah-marah, ia akan lari keluar bersembunyi di belakang rumah atau di jalan berdekatan dengan rumah itu. Jika tiada apa-apa halangan, ia akan masuk ke dalam dapur secara senyap-senyap agar pergerakannya tidak ketara. Ia tahu, silap sedikit, pasti mengundang amarah Angel.Senyap. Nampaknya Angel tiada di dalam rumah. Atau mungkinkah Angel sedang tidur di biliknya. Jingle berjalan perlahan-lahan. Berhati-hati. Akan dituju ke bahagian dapur. Mungkin ada sedikit makanan. Sekurang-kurangnya nasi kosong di dalam pinggan dingin. Kalau nasi malam tadi, ia masih bersyukur. Jingle tahu Joshua tidak lupa padanya. Sebab itulah ia patut setia berada di rumah itu. "Anak, hanya itu yang ada untuk perbelanjaan bulan ini." Jingle sedang makan ketika terdengar kekecohan yang ditimbulkan Angel. Sudah sering Angel mencuri wang ibunya. Angel yang kurus kering itu sering pulang dengan lelaki berlainan. Kadang-kadang Angel masuk dan diam bersama mereka di dalam bilik. Sudah puas Joshua menasihati anaknya itu. Angel yang sudah habis sekolah itu tidak pula mencari pekerjaan. Namun begitu, dia sentiasa mahukan pakaian cantik-cantik. Makanan yang sedap-sedap. Joshua pening dengan kerenah Angel. Perempuan tua itu hanya berharap pada wang pencen mendiang suaminya. Apabila Angel keluar dengan kawan-kawan, Joshua susah hati. Kadang-kadang Angel kelihatan seperti mabuk dan khayal seorang diri di dalam biliknya. Ada jiran yang membuat laporan bahawa rumah Joshua telah dirompak pada hari kejadian. Setelah agak sihat, Joshua memberi keterangan ketika disoal siasat polis bahawa dia sekeluarga memang diserang tetapi dia tidak ingat wajah lelaki yang terlibat. Oleh itu, polis tidak dapat membuat tindakan yang lebih progresif berkenaan kes itu. Namun, polis terus memburu lelaki itu. "Kita tidak boleh beritahu hal sebenar. Nanti kita juga yang susah…" Joshua mengelus kepala Jingle ketika dia dan Jingle berada di taman hospital. Jingle hanya memandang wajah Joshua, kemudian ia menunduk sambil berbunyi seakan-akan mengucapkan kata-kata kesal. Jingle duduk di lantai bersebelahan kerusi roda Joshua. Joshua tersenyum terharu meneliti gelagat Jingle. Tiba-tiba Joshua menyeka airmatanya. Terlalu sedih mengenangkan nasib yang menimpanya. Anak yang diharapkan kini sedang berada di ambang maut. Itulah anak yang dijaga ketika masih bayi. Itulah anak yang diberi kasih sayang dan dituruti segala kemahuan. Angel kanak-kanak yang bijak tetapi tidak menggunakan kelebihannya demi kemajuan diri. Angel berkawan dengan mereka yang nakal. Bila remaja, sifatnya bertambah liar. Dia mula lepas bebas. Harapan Joshua untuk memiliki anak yang membahagiakannya musnah sama sekali. Angel tidak punya sekelumit pun rasa kasih di jiwa. Langsung tiada untuk Joshua. Sungguh hampa! Kesetiaan Jingle masih kecil ketika ibunya yang tua itu hidup. Ibu mengajarnya tentang kesetiaan pada tuan. Tuan yang memberi makan dan tempat perlindungan. Oleh itu, tuan perlu dijaga dengan sebaiknya. Jaga rumah dan harta tuan daripada pencerobohan orang yang tidak dikenali pada siang atau malam kerana spesies boxer seperti mereka memang tugasnya sebagai pengawal harta benda. Jingle masih tidak faham mengapa sikap Angel berlainan daripada Joshua yang mendidiknya dengan baik. Walaupun semasa masih kanak-kanak, kegarangan dan sikap kasar Angel banyak menyusahkan. Angel selalu menyergah, membaling, memaki dan menyepak Jingle dan ibu. Malahan Angel juga berkasar dengan Joshua. Dari cerita ibu Jingle, Angel itu bukanlah anak sebenar Joshua. Angel sebenarnya saudara angkat ibu. Si nenek Jingle yang mengutip dan membawa Angel dari pusat pembuangan sampah semasa Angel baru dilahirkan. Joshua yang tidak pernah ada anak dan kesepian semenjak suaminya meninggal, menemui nenek yang cuba menyusu Angel dan saudara ibu yang lain. Joshua memelihara kesemua mereka yang ditemui di bawah tempat simpanan kayu api di belakang rumah. Joshua anggap semua itu anugerah Tuhan. Angel dijadikan anak emas. Nenek dan saudara ibu yang lain dijadikan sebagai penjaga rumah. Tidak mengapalah, Joshua manusia baik. Tetapi, sifat ganas Angel begitu kontras dengan ibu angkatnya. Mungkinkah sifat itu bawaan daripada ibu bapa asalnya? Saban hari, ada-ada sahaja kerenah Angel. Ah, mungkin juga Angel tidak tahu bahawa dia juga anak pungut! Jingle sendirian setelah ibunya yang tua itu mati. Sewaktu ibu hampir mati, kerap kali ia membawa diri jauh-jauh. Ia hanya pulang ke rumah dua tiga hari sekali untuk menjenguk Jingle, Joshua dan rumah itu. Kemudian, ibu menghilang lagi. Akhirnya tubuh ibu ditemui berhampiran dengan tempat pembuangan sampah. Agaknya ibu tidak mahu menyusahkan tuannya seperti halnya yang dilakukan nenek. Ibu tidak sepatutnya pergi seawal itu. Gara-gara Angel, ibu Jingle cedera di kepala dan badan akibat dipijak-pijak dan dibaling dengan batu besar. Puncanya ibu menyergah seorang kawan Angle yang mengusik Jingle. Bukan itu sahaja kekejaman Angel. Dia pernah mencurahkan air panas ke badan Jingle bersaudara. Malahan perbuatan mengetuk kepala atau menendang mereka sehingga terkandas ke dinding adalah perkara biasa. Sebab itulah mereka yang lain tidak dapat hidup lama. Namun, pesan ibu tetap Jingle ingat. Tuan itu lebih utama. Walaupun Angel itu kejam, dia anak tuan. Tuan mesti dijaga dan dihormati. Setialah pada tuan walaupun diri tidak dihargai. Walaupun dibenci. Walupun dihalau. Walaupun tidak diberi makan. Sebab itulah Jingle rela tidur di luar rumah pada malam hari yang sejuk. Tidak mengapalah demi tuan. Lebih-lebih lagi tuan seperti Joshua yang tidak membiarkannya mati kelaparan atau bergelandangan seperti anjing-anjing yang lain. Hari ini doktor membenarkan Joshua pulang. Rumah yang ditinggalkan beberapa lama masih begitu. Cuma pintu dan tingkap yang dirapatkan jiran sebelah. Joshua mengemop kesan darah di lantai. Dia menangis. Jingle tidak dapat membantu apa-apa. Ia hanya dapat menemani Joshua. Ia menunggu Joshua bekerja sehingga selesai. Seperti biasa ia mengiringi Joshua ke pasar. Beberapa jiran yang mengenali Joshua menegur dan bertanya khabar. "Penyamun itu masih belum ditangkap." Joshua menerangkan lalu mereka percaya kata-kata Joshua. "Bersabarlah. Semuanya akan bertambah baik." Seseorang memeluk Joshua memberi kata-kata semangat sambil mendoakan keselamatan Angel. Jingle nampak Joshua menyeka airmatanya. Ia seakan faham kemelut yang ditanggung oleh perempuan tua itu. Hari itu Angel pulang ke rumah bersama dengan temannya. Dia bertengkar dengan ibunya. Joshua tetap mempertahankan haknya kali ini. Sudah lama Angel itu diberi muka. Angel sudah melampau. Kali ini dia tidak malu-malu meminta wang dari ibunya di depan teman lelakinya. Teman lelaki yang merosakkannya itu pun tidak tahu malu. Dengan pakaian dan perangai tidak senonoh, dia ikut menumpang makan minum di rumah Joshua, perempuan tua yang sudah uzur itu. "Ma, saya tak kira! Saya mahu duit itu." "Ubahlah sikapmu. Diamlah di rumah. Kau tidak boleh begini. Selalu saja kau ke kelab malam." Joshua berleter dengan kuat kali ini. "Ah, saya tidak suka tinggal di rumah buruk dan busuk ini." Angel yang bertindik di telinga, hidung, pusat dan bibir itu menghentak-hentak tangannya ke meja. Lelaki yang rambutnya dihias tiga warna itu hanya tersengih-sengih."Kita bukan orang kaya. Ibu tidak boleh selalu ikut kemahuanmu. Wang ini untuk ibu. Kau sendiri perlu bekerja." Namun nasihat itu sia-sia. Akhirnya pergelutan berlaku. Seorang mahu merampas. Seorang lagi mempertahankan haknya. Riuh dengan suara jeritan Joshua yang menangis merayu sekaligus meminta tolong entah dari siapa. Mungkin Joshua berharap seseorang membantunya meleraikan pergelutan itu. Tenaga tuanya tidak dapat bertahan. Lelaki muda yang berambut pelik itu kelihatan kaget namun tidak juga membantu. Jingle mula menyalak pada Angel. Angel tidak peduli. Jingle menyalak lagi dengan lebih kuat. Angel sergah dan menyepak Jingle. Jingle bangun dan menyalak lagi. Joshua masih tidak mahu melepaskan wangnya. Angel terus berang. Dia menolak perempuan tua itu sehingga terkandas pada bucu meja. Pendarahan di kepala Joshua tidak menghentikan tindakan ganasnya. Angle terus memukul bertubi-tubi tubuh Joshua dengan tangannya. Joshua terjerit kesakitan sehingga wangnya terlepas. Temannya turut membantu merampas wang yang dipertahankan Joshua. Salakan Jingle yang memberi amaran dengan deram marah, sedikitpun tidak dihirau. Sebaliknya dia menendang Jingle yang disifatkan sebagai pengganggu itu. Jingle bangun dan menggigit kaki seluar lelaki muda yang asing itu. Agaknya takut dengan kegarangan luar biasa Jingle, wang di tangan lelaki itu bertaburan di lantai. Angel yang nampak hal itu, memekik memaki-maki Jingle. Tanpa berlengah dia mengutip wang itu. Belum habis wang itu dipungut, Joshua menangkap kaki kanannya. Joshua minta wang itu dikembalikan. Berang dengan tindakan Joshua, dia menyepak pula ibunya yang tidak ingin melepaskan pautan tangan ke kakinya. Jingle menderam garang. Kali ini dia tidak boleh membiarkan perlakuan Angle. Angel agak terkejut. Tidak pernah dilihat Jingle sebengis itu. Dia terkaget ketika Jingle menerpanya. Jingle menerkam, menyerang Angel yang sudah hilang sikap kemanusiaan itu. Tubuh Angel terdorong ke belakang. Terhantuk kepalanya pada dinding batu. Duit yang dipungut tadi bertabur kembali ke lantai. Tubuhnya ikut melorot jatuh ke lantai. Kaku dan terkulai. Joshua terjerit memanggil nama anak kesayangannya. Lelaki muda itu terpana ketakutan. Belum sempat apa-apa, dia terus melarikan diri dari tempat tragedi itu. Jingle mengejarnya untuk beberapa langkah dan kemudian berpatah balik apabila mendengar suara erangan Joshua. Kesakitan Joshua mengerang kesakitan. Tubuhnya tiba-tiba terasa kesejukan. Darah dari kepalanya melimpah laju ke lantai. Tubuh Angel didekati dengan bersusah-payah. Sekejap kemudian, jiran sebelah menyebelah tiba. Joshua dibantu untuk bangun. Namun, Joshua yang sudah lemah itu akhirnya tidak sedarkan diri. Semalam, Joshua masih melawat anaknya. Dia berulang ke wad yang merawat Angel sekurang-kurangnya sekali dalam masa dua hari. Ternyata dia masih menyayangi anak itu. Diam-diam dia berdoa agar anaknya terus hidup dan berubah sikap. Dia akan rasa bahagia jika anaknya itu menyesali segala perbuatannya. Dia berharap anaknya itu dapat menemani dan menyayanginya. Rumah batu buatan lama dan berbilik dua yang dibeli suaminya itu adalah harta berharganya. Dia berhasrat agar Angle menjaganya. Beberapa hari lepas, pihak hospital memaklumkan bahawa Angle sudah pergi buat selama-lamanya. Memang sedih. Anehnya, perempuan tua itu tidak menitiskan air mata apabila menerima berita itu. Agaknya, sesudah tiga bulan Angle koma, dia berhenti mengharap anaknya itu kembali pulih. Dia turut menguburkan impian punya anak yang baik, menjaganya pada hari tua. "Rumah ini tetap sunyi seperti dahulu…" Petang itu, Joshua berkata pada diri sendiri sambil menyorot sayu ke seluruh ruang rumah yang sinonim dengan nostalgia hidupnya. Kini, rumah itu usang dan suram. "Hanya tinggal kita berdua." Joshua berkata pula pada Jingle. "Inilah sahaja syurga yang tinggal." Joshua tersenyum memujuk hati sendiri. Dia menepuk-nepuk mesra kepala Jingle yang duduk manja di sampingnya. "Jangan kau tinggalkan aku seperti yang lainnya. Hanya kau satu-satunya teman yang aku ada." Joshua menatap mata Jingle seperti memberi arahan yang wajib dipatuhi. Walaupun lebih dua minggu Jingle tidak diberi makan semasa dia berada di hospital, Jingle tetap kembali walaupun ia boleh pergi menyertai kumpulan anjing-anjing yang tidak bertuan. Entah di mana Jingle mencari makan ketika itu. "Sebab itulah aku tidak mendedahkan yang kaulah pembunuh sebenar Angel, anakku itu." Kata-kata itu lekas difahami Jingle. Jingle berbunyi sedih sambil meletakkan mukanya ke atas tangannya tanda rasa menyesal dan bersalah.Joshua tersenyum. Dia faham perlakuan anjingnya itu lalu tunduk membelai belakang Jingle. "Tidak mengapa. Itu rahsia kita berdua. Yang penting, hanya kau yang kusayang ketika ini. Hanya kau!" Jingle menggesel manja pada kaki Joshua sebagai tindak balas kasih sayangnya pada seorang tuan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
oleh;
noor hanisah othman
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment